Bagi bahagian mendengar, calon dikehendaki mendengar dengan teliti rakaman
petikan bacaan dengan suara yang jelas oleh pembaca tempatan yang berkebolehan.
Setiap petikan dimainkan sebanyak dua kali dan calon diberi masa 30 minit
untuk menyiapkan ujian berkenaan.Tiga petikan disediakan untuk bahagian ini dan calon perlu memberi tumpuan dan mendengar dengan lebih berhati-hati bagi menjawab 20 soalan wajib berdasarkan ketiga-tiga petikan itu.
"Calon diingatkan agar mendengar dengan teliti dan menyediakan draf jawapan dengan segera. Mereka tidak perlu tunggu sehingga habis rakaman untuk menyiapkan jawapan," jelas Mazlina Mohamad Ariff, pegawai yang bertanggungjawab bagi MUET di Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM).
Soalan yang perlu dijawab adalah dalam bentuk objektif dan subjektif termasuk mengisi tempat kosong dengan perkataan yang disediakan.
PENULISAN
Di bahagian penulisan, calon perlu menulis dua esei, satu dengan data yang disertakan dan satu lagi bercorak ''pendapat'' tentang sesuatu topik. Masa yang diberikan ialah 90 minit bagi menyiapkan dua esei berkenaan.
| Nak Lulus Cemerlang Dalam Exam MUET? Klik Sini! |
"Kami akan tengok ketepatan fakta serta gaya penulisan dalam ujian itu. Terdapat pelbagai gaya dalam penulisan esei tetapi adalah penting bagi penerangan terperinci untuk sesuatu fakta termasuk interpretasi tentang maklumat yang diberikan," kata beliau.
Melihat kepada kertas ujian MUET November 2012, soalan pertama bahagian ini memberi fokus kepada penulisan laporan manakala esei kedua memerlukan calon menjelaskan pendirian mereka tentang topik yang diberikan.
"Calon mestilah menyatakan dengan jelas pendirian mereka dalam sesuatu topik, sama ada setuju, tidak setuju atau separuh setuju.
"Kita juga tengok kepada kesilapan nahu dan ejaan. Kita turut mementingkan panjang esei itu sama ada mengikut arahan yang diberikan," kata seorang lagi pegawai MPM yang enggan dinamakan.
MEMBACA
Enam petikan daripada buku serta majalah asing yang terkenal digunakan dalam bahagian 90 minit ini di mana terdapat 45 soalan objektif.
Antara bahan yang dipilih adalah dari ''Harvard Business Review'', ''New York Times'' dan buku ''This Will Change Everything’ yang ditulis John Brockman.
Pegawai MPM berkenaan menasihati calon-calon agar membaca setiap petikan mengikut aturan dari yang pertama hingga terakhir kerana ''darjah kesukaran'' akan meningkat dari petikan pertama hingga enam.
Bahagian ini memberi 40 peratus daripada jumlah markah MUET. Setiap jawapan yang betul akan diberi tiga markah.
IDE UNTUK BERCAKAP
Bahagian bertutur (bercakap) adalah kertas 2 dalam MUET yang diadakan pada hari berasingan. Bahagian ini memperuntukkan 30 peratus daripada jumlah markah. Bahagian bertutur MUET ini menyaksikan calon diberi dua ''lampiran'' (booklet) dengan dua tugasan - A dan B.
Empat calon akan dikumpulkan bersama dan perlu bercakap tentang satu topik yang diberi kepada mereka secara berasingan. Kemudian mereka perlu berbincang terhadap fakta yang dibentangkan sebelum bersetuju secara kolektif pada akhir 20 minit masa yang diberikan.
Setiap calon diberi hanya dua minit berucap bagi tugasan A dan pemeriksa akan menganalisis kesemua empat calon berdasarkan isi kandungan pertuturan mereka selain penggunaan bahasa.
"Tujuan adalah bagi mengetahui tahap kebolehan mereka bercakap dalam Bahasa Inggeris. Jalur Tiga adalah bagi ucapan tanpa struktur manakala Jalur Empat adalah bagi calon yang boleh menyampaikan ucapan mereka dengan baik selain mempunyai struktur," jelas Mazlina.
Bagi tugasan B, calon diberi dua setengah minit untuk bercakap dan kali ini sesiapa pun boleh mulakan dahulu.
Bahagian ini memberi 15 peratus daripada jumlah markah yang menekankan kepada kandungan dan bahasa.
Satu perkembangan positif telah dicatatkan berhubung dengan kemahiran Bahasa Inggeris dalam kalangan graduan muda di Malaysia namun yang lebih penting ialah usaha bagi mempertingkatkan tahap keyakinan Bahasa Inggeris dalam masyarakat perlu datang tulus ''dari hati''.
-- BERNAMA
0 Comments